PERALIHAN DEMOGRAFI DI CHINA DAN IMPLIKASINYA
PENGENALAN
Artikel ini membincangkan mengenai pendekatan kes dan analisis peralihan demografi di China serta kesannya terutamanya dalam bidang sosial dan ekonomi. Hal ini diberi perhatian dalam tiga bentuk iaitu perbandingan dan tanggungan dan komposisi penduduk , struktur umur tenaga kerja serta saiz dan komposisi isi rumah. Perbincangan ini memberi fokus bermula dari tahun 1980-an sehingga tahun 2000 di mana data-data yang diambil kira meliputi kawasan bandar dan luar bandar yang diperoleh daripada State Statistical Bureau (SSB), data banci penduduk tahun 1982, 1990, dan 2000, serta penyelidikan terbaru mengenai jumlah penduduk. Dalam konteks ini peralihan demografi bermaksud pengekalan atau pengurangan dalam kadar pertumbuhan penduduk untuk mengawal jumlah serta kecenderungan pengurangan jumlah tahap kesuburan iaitu sekitar paras 2. Selain itu, aspek yang akan diambil kira ialah dua sebab peralihan demografi perlu diberi perhatian kerana impak keterbatasan biasa dan pembangunan persekitaran terhadap saiz populasi serta sejauh mana perubahan dalam komposisi umur memberi kesan ke atas pendapatan penduduk.
KOMPOSISI DAN POLA PERTUMBUHAN JUMLAH PENDUDUK
China yang mempunyai penduduk seramai 1.27 bilion mengikut data yang diambil pada tahun 2000 mempunyai nisbah 64:36 bagi penduduk bandar dan luar bandar. Melalui data banci penduduk serta pola pertumbuhan penduduk yang diambil sejak dari tahun 1950 hingga 1999, terdapat pengurangan tahap pertumbuhan penduduk terutamanya sejak tahun 1970 sehingga tahun 1999. Kejatuhan tahap pertumbuhan penduduk amat ketara pada tahun 1961-62 kesan daripada bencana alam terutamanya banjir besar di sungai-sungai utama yang padat penduduk seperti Sungai Hwang Ho serta krisis kelaparan di China menyebabkan ramai penduduk terkorban menyebabkan pertumbuhan tahunan penduduk diparas negatif. Sejak dari tahun 1950 sehingga tahun 1991 (tanpa mengambil kira tahun 1961 dan 1962) kadar pertumbuhan penduduk di China adalah di atas 2.1% setahun. Namun kadar pertumbuhan penduduk ini semakin berkurangan pada tahun berikutnya sehingga 1999 iaitu sebanyak 1.17%. Kemungkinan besar hal ini disebabkan polisi kerajaan yang menetapkan seorang anak bagi sebuah keluarga di samping beberapa faktor ekonomi serta sosial lain seperti meningkatnya taraf hidup penduduk kesan daripada kemajuan ekonomi terutamanya apabila pihak pemerintah sedikit demi sedikit membuka pasaran negara China kepada perdagangan global sebelum secara rasminya menyertai WTO pada tahun 2001. Di samping itu, meningkatnya umur kahwin bagi penduduk China pada tahun 1950 sehingga 1982 juga memberi impak kepada tahap kesuburan penduduk di China di mana pola penurunan tahap kesuburan dapat dilihat dengan jelas terutamanya sejak tahap kesuburan tertinggi dicatatkan pada tahun 1964 sehingga 1999. Pada tahun 1950, umur berkahwin bagi penduduk China meningkat pada tahun 1982. Bagi merealisasikan dan mengurangkan tahap kesuburan, pemerintah China telah menggalakkan perkembangan pesat proses urbanisasi seperti yang berlaku di Singapura, Taiwan dan Hong Kong, begitu juga dengan taraf pendidikan. Kesannya dapat kita lihat pada hari ini di mana tahap pertumbuhan penduduknya sekitar 1.5 % setahun terutamanya selepas polisi seorang anak bagi setiap pasangan diperkenalkan. Namun dapat kita simpulkan tahap pertumbuhan dan kesuburan di kawasan luar bandar masih lagi tinggi berbanding dengan bandar. Begitu juga dengan tahap umur kahwin bagi penduduk luar bandar masih lagi rendah sehingga data ini diperoleh berbanding dengan penduduk bandar.
IMPLIKASI PERALIHAN DEMOGRAFI DI CHINA
Berdasarkan kajian yang telah dijalankan oleh penulis, perkembangan ekonomi telah memberi dua kesan kepada peralihan demografi di China tetapi penulis lebih menumpukan pada aspek perubahan dalam struktur umur. Secara amnya, berlaku peningkatan struktur umur bekerja (15-64 tahun), tetapi berlaku penurunan jumlah struktur umur bekerja muda iaitu 15 hingga 29 tahun. Manakala struktur umur 30 tahun ke atas tidak mengalami perubahan yang ketara. Seperti yang kita sedia maklum, penduduk muda dan tua bergantung hidup kepada penduduk dewasa dari segi ekonomi namun begitu dalam konteks penduduk di China, manfaat penggunaan tenaga penduduk tua juga diperlukan terutamanya dalam aspek pengalaman yang ada pada mereka dalam bidang masing-masing dapat diturunkan kepada generasi muda. Di samping itu, pembangunan pendidikan dan latihan penduduk muda amat penting sebagai aset peningkatan produktiviti pada masa hadapan, seterusnya menjamin pembangunan negara yang berterusan. Walau bagaimanapun, peningkatan kuantiti penduduk tua menjadi satu beban pada kerajaan China pada masa depan khasnya dalam menyediakan kemudahan sosial namun dengan adanya ramai penduduk yang berada pada struktur tenaga kerja sebagai tempat bergantung penduduk tua sedikit sebanyak mampu mengurangi beban kerajaan untuk menyediakan kemudahan kepada golongan ini. Di samping itu, jumlah penduduk tua juga berbeza dari segi wilayah, contohnya kawasan yang berdekatan dengan pantai dan mempunyai pendapatan per kapita tinggi (Shanghai) mempunyai penduduk tua lebih tinggi berbanding kawasan pedalaman yang mempunyai pendapatan per kapita rendah (Guizhou). Selain itu, peralihan demografi ini bukan sahaja membawa masalah dalam menyediakan pendidikan dan latihan bagi kanak-kanak, penyediaan peluang pekerjaan serta sokongan dan tanggungan kepada penduduk tua tetapi juga penurunan kadar kelahiran dan secara langsung mengurangkan jumlah kanak-kanak di China berbanding penduduk dewasa dan tua akibat penurunan tahap kesuburan seterusnya mampu memberi kesan kepada tahap pendidikan dan tenaga kerja.
TANGGUNGAN DAN KOMPOSISI PENDUDUK
Terdapat dua sebab yang berbeza bagi melihat ciri-ciri masalah komposisi dan tanggungan bagi penduduk muda dan tua kerana keperluan mereka dilihat dari skala yang berbeza dan kedua ialah tujuan pola sokongan kewangan bagi kanak-kanak adalah berbeza dengan penduduk tua. Kebanyakan perbelanjaan kanak-kanak sama ada untuk tujuan pendidikan dan latihan atau keperluan individu ditanggung oleh ibu bapa dan pihak kerajaan. Manakala tanggungan bagi penduduk tua berlaku sedikit pembahagian iaitu melibatkan isi rumah (keluarga), pihak kerajaan serta institusi sosial termasuklah bekas majikan melalui wang pencen. Secara kasarnya, isi rumah serta pihak kerajaan dan institusi sosial di kawasan bandar akan merasa kesan yang ketara dalam kewangan terutamanya beban serta kos yang tinggi secara langsung untuk menanggung pertambahan jumlah penduduk tua. Berbeza pula dengan kawasan pedalaman, pertambahan dalam perubahan struktur umur tanggungan memberi impak secara relatif perbelanjaan bagi kanak-kanak dan penduduk tua. Kemungkinan akan berlaku penurunan tanggungan bagi penduduk muda (kanak-kanak) kerana dasar polisi seorang anak bagi setiap pasangan sudah pasti mengurangkan kuantiti kanak-kanak.
STRUKTUR UMUR BEKERJA-DEWASA
Untuk mengekalkan garis perantaraan panjang serta tahap persekolahan dengan saiz kelompok umur bersekolah, peralihan dalam demografi memberi kesan utama kepada tahap permulaan dalam tingkat serta mutu pendidikan tenaga buruh di China. Di samping itu, berlakunya perubahan dalam perbandingan jumlah tenaga kerja di China. Melalui pemerhatian dari segi struktur umur iaitu bagi kanak-kanak, dewasa dan warga emas, secara amnya perubahan struktur umur bekerja (dewasa) iaitu 15 hingga 65 tahun telah mengalami peningkatan yang ketara dari segi jumlah penduduk yang berada pada struktur umur ini. Namun jika diteliti dengan lebih lanjut kuantiti tenaga kerja muda (15-29 tahun) berlakunya penurunan. Kesannya kepada sosio-ekonomi ialah tidak ada generasi penyambung kepada Revolusi Budaya (Cultural Revolution) dalam bidang pendidikan dan latihan di China. Ukuran kelompok kelahiran tinggi yang berakhir 1953-63 (berumur sekitar 37-47 tahun pada 1998), sama sekali merumitkan keadaan proses utama dalam pendidikan dan latihan. Oleh kerana interaksi dan pengaruh peralihan demografi dan penurunan jumlah tenaga kerja di pelbagai sektor dalam negara, untuk jangka masa yang panjang China akan berpotensi menghadapi masalah berkenaan pekerjaan dengan tenaga kerja tua atau dewasa dan tidak mustahil pada perkiraan saya suatu masa nanti China juga perlu bergantung kepada tenaga kerja asing sekiranya pertumbuhan ekonominya berterusan.
ISIRUMAH DI CHINA
Saiz isi rumah di China adalah sekitar 348 juta pada tahun 1999. Berdasarkan data dari tahun 1982 sehingga 1999, berlakunya penurunan yang amat ketara dalam saiz isi rumah di China iaitu 4.5 orang bagi setiap keluarga telah menurun kepada 3.5 pada tahun 1999. Hal ini penting kerana pengagihan jumlah penduduk dalam isi rumah merupakan petunjuk penting pola pendapatan per kapita bagi isi rumah. Kawalan dalam pendapatan per kapita membolehkan isi rumah yang bersaiz kecil membelanjakan lebih untuk makanan per kapita dan kemudian membesarkan saiz isi rumah. Hal ini merupakan fakta penting dalam konteks pembangunan ekonomi di mana makanan yang cukup adalah pertimbangan penting. Sebenarnya saiz isi rumah di China adalah agak kecil tetapi masih dalam keadaan terkawal. Saiz isi rumah di luar bandar China lebih besar daripada saiz isi rumah di kawasan bandar kemungkinan besar disebabkan polisi dan dasar seorang anak setiap pasangan.
KESIMPULAN
Pola peralihan demografi di China lebih cenderung condong ke arah negatif di mana berlaku sedikit demi sedikit pengurangan populasi dari tahun ke tahun akibat kejatuhan kadar kelahiran namun masih dalam keadaan terkawal. Perubahan dasar politik serta pemerintahan kerajaan kemungkinan boleh mengatasi masalah ini walaupun ada pro dan kontranya. Walau bagaimanapun peralihan demografi di China ini sebenarnya akan memberi kesan untuk tempoh jangka masa panjang kepada negara itu dalam perbagai bidang termasuklah ekonomi, sosial serta kemungkinan besar juga dasar politiknya.
0 Responses to PERALIHAN DEMOGRAFI DI CHINA DAN IMPLIKASINYA
Post a Comment